Sunday, November 21, 2010

Kembara Umrah 1431H

Sebenarnya catatan ini telah dimulakan lebih kurang genap seminggu aku pulang dari umrah. Tapi sering tertangguh kerana ‘seribu alasan’ dan niat nak menyelesaikan catatan ni sering terbantut di tengah jalan. Akhirnya, siap juga walaupun umrahku selesai 6 bulan yang lalu dan kini waktu umat Islam selesai menunaikan ibadah Haji. Pun begitu, sepanjang aku menulis sambil mengingati kembali pengalaman yang sukar dilupakan telah menghidupkan kembali perasaan membuak-buak rinduku pada rumah Allah dan kota cahaya nabi. Rindu akan cuaca panas di sana dan juga hiruk-pikuk rutin harian penduduk di kedua-dua tanah suci tersebut. Maha suci Allah, aku rindu untuk kembali semula sebagai tetamuNya. Perasaan-perasaan yang sukar hendak digambarkan sepanjang aku berada di sana.Atas usulan seorang sahabat, aku kongsikan beberapa peristiwa yang yang dapat dijadikan teladan dan sempadan sepanjang berada di tanah suci. Moga coretan yang tidak seberapa ini dapat memberi sedikit pengisian yang berguna kepada yang sudi membaca dan juga diharap dapat membakar semangat bagi mereka yang berhajat mengerjakan umrah. InsyaAllah.
Terlepas Subuh?!

Transit di lapangan Doha. Nice airports and it’s huge though. Turun je dari kapal terbang, hidung terasa panas semacam dan rupanya dah berdarah kat dalam. Tanda suhu badan aku kepanasan. Waktu Subuh kat Doha memang berbeza dengan negara sendiri. Memang suspen bila tengok langit cerah macam pukul 7-7:30 pagi waktu Malaysia dan aku pula walaupun sudah menunaikan solat subuh atas flight tapi aku tak yakin solat Subuh yang aku perform tu sah ke tak. Was-was. . Alhamdulillah, rupanya waktu Subuh masih berjalan lagi dan sempat kami satu rombongan untuk menunaikan solat. Kali ni aku ta’kid dengan solatku. Sebenarnya masih banyak yang perlu aku pelajari bagaimana nak bermusafir ni dan antara yg terpenting ialah macammana nak tentukan masuk waktu solat dan mcmmana nak tentukan arah kiblat dalam fligt. Dahler kawan-kawan dalam rombongan duduk jauh-jauh. Susah nak tanya bila baru kenal kat airport beberapa jam jer. Hmm…Siapalah hamba Allah yang ‘bertuah’ arrange seat rombongan kami ni..


Jejak kaki di Airport Jeddah


Alhamdulillah, aku sampai di Jeddah. Perjalanan kami disambut oleh mutawwif yang berasal dari tanah seberang. Orangnya kecil tapi suaranya kuat dan jelas. Beliau memperkenalkan dirinya sebagai Ustaz Mardan dan menerangkan kepada kami tentang tentatif program perjalanan kami seterusnya. Memang seronok dengar pertuturan beliau walaupun slanga Indonesianya pekat tapi beliau sedaya-upaya menggunakan kata bahasa Melayu-Malaysia yang mudah agar kami semua faham. Tapi, aku jadi tergamam bila beliau menerangkan perjalanan kami ini akan memakan masa lebih kurang 5 jam untuk sampai ke Madinah!. Aduh!, Penat duduk dalam kapalterbang belum pun hilang lagi…huhuhu. Maksudnya turun dari flight kedua, kitaorg belum dapat rehat sudah dibawa ke Madinah untuk satu lagi perjalanan jauh tapi kali ini menaiki bas. MasyaAllah, masa tu tak tergambar akan kepenatan yang sedang kami alami. Kami pun, apa lagi, dalam bas pakat tidoq sakan .. Aku lihat bapaku masih kelihatan tegap menahan letih walaupun di usia emas beliau. Alhamdulillah. Doaku tidak putus-putus agar dipermudahkan segala urusan. Pesan seorang sahabat sebelum aku berangkat;
“KFiza, berdoalah apa-apa sahaja yang kfiza nak doakan ketika di Mekah nanti. Tapi jangan lupa berdoa untuk beribadah, doalah tiga perkara utama, doa dipermudahkan untuk urusan beribadah, doa agar diberi kesabaran dalam ujian dan doalah agar diberi kekuatan untuk beribadah”.
Ya, aku tidak lupa akan pesananmu, sahabatku. Hati kecilku terus berdoa agar kami dipermudahkan segala urusan. Bas terus melaju menuju ke destinasinya.


Masjid Nabawi

Sesekali dalam perjalanan, kedengaran suara mutawwif berkongsi maklumat tentang sejarah bumi nabi Madinah Munawarrah. Walaupun penyampaian beliau sangat menarik dan disokong dengan nas-nas Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah tapi dek kerana badan terlalu penat, sering-kali kata-kata beliau umpama angin lalu di telingaku.Maaf ustaz, kami kepenatan.

Sekali lagi suara ustaz kedengaran di corong pembesar suara mengejutkan kami dari tidur. Rupanya kami hampir tiba di kota bercahaya nabi! Aku dapat lihat bandar bercahaya Madinah dari jauh dengan jelas. Cantik dan kagum, Subhanallah! Macam dalam gambar yang aku lihat. Akhirnya bas kami selamat tiba di depan hotel penginapan kami. Aku tergamam kerana akhirnya kami sampai jua. Berjuta perasaan berbunga menghiasi dada namun masjid Nabawi yang kini sebenarnya hanya beberapa meter sahaja dari hotel masih tidak kelihatan kerana dilindungi oleh bangunan-bangunan yang tinggi. Apapun, aku masih rasa kagum dan bagai tidak percaya aku sudah memijakkan kaki di kota Madinah, kota yang tidak lekang disebut dalam sejarah Islam. Beg-beg dan bagasi-bagasi kami pun dipunggahkan dari perut bas dan kami terus membuat check-in ke bilik. Aku ditempatkan bersama empat orang jemaah wanita lain dan dua daripadanya adalah anak-beranak yang telah ku sapa sewaktu transit di Doha lagi. Sebelum naik ke bilik, kami diingatkan agar harus mendapatkan sedikit rehat untuk bangun Subuh nanti. Kotak fikiranku terus memutarkan rekod pesanan ustaz Mardan dalam bas tadi,
“kalau nak berehat dengan nyaman dan selesa maka mengerjakan umrah ni bukanlah tempatnya”.
Menurut beliau, perjalanan umrah adalah satu proses tarbiyah yang lasak demi menyucikan dosa-dosa hamba-hambaNya. Seharusnya kita bersiap-sedia menerima ujian-ujianNya dengan penuh keimanan dan kesabaran sama ada dari segi minda dan fizikal agar segala amalan ibadah yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT.


Subuh Yang Mendamaikan

Waktu Subuh di Madinah sangat awal berbanding Malaysia. Jika di negara kita, waktu subuhnya lebih kurang 5:40 – 6:10 pagi tapi di Madinah, waktunya lebih kurang pukul 4:30 pagi. Awal tu! Badan masih terasa penat namun nekad yang sudah disimpul ketat sejak awal lagi seolah memberikan tenaga luar biasa untuk kami bangun seawalnya untuk ke masjid. Aku melangkah keluar dari pintu bilik dengan mendahulukan kaki kanan sambil membaca doa keluar rumah. Rakan sebilik sepakat untuk keluar bersama-sama ke masjid kerana ini adalah hari kami pertama kami di sini. Sebaik melangkah keluar dari pintu utama hotel, aku menjadi sangat terkejut. Suasana Subuh di Madinah sangat menakjubkan! Di kala Subuh waktu yang sebegitu awal, manusia datang berbondong-bondong berjalan kaki menuju ke Masjid Nabawi seolah mahu mengerjakan solat Jumaat . Sebak dan terharu dan itulah antara perasaanku ketika itu. Tidak pernah seumur hidupku melihat suasana Subuh yang sedemikan rupa. Teringat akan kata-kata seorang alim Yahudi yang mendakwa, kaum Yahudi akan menjadi gentar dan tercabar apabila
mereka mendapati umat Islam bersatu-padu mengerjakan solat Subuh berjemaah di masjid seolah jumlah itu bersamaan jumlah jemaah yang mengerjakan solat Jumaat, Subhanallah! Aku meneruskan langkahku ke masjid yang jaraknya dari hotel lebih kurang 300 meter dan aku dapat melihat menara masjid nabawi dengan jelas. Akhirnya aku dapat melihat keseluruhan masjid nabawi yang tersergam indah. Subhanallah, cantik! Selain dari lampu neon yang terpancar dari menara-menara masjid Nabawi, langit Madinah juga memancarkan set ‘neon’ asli yang menambahkan seri wajah kota ini. MasyaAllah, aku kagum, aku takjub!.


RoadBlock di pintu masuk Masjid Nabawi


Aku kaget!. Ramainya orang berkumpul dan seolah berasak untuk masuk ke pintu-pintu utama masjid Nabawi. Sebaik saja kami menghampiri salah sebuah pintu-pintu tersebut, rupa-rupanya memang betul ada sekatan jalan atau ‘roadblock’ oleh ‘mak guard berpurdah’. Tujuan mereka ialah untuk buat spotcheck camera dan handphone berkamera para jemaah. Ceh! Kami tergamam sebentar kerana kami juga membawa kamera! Rasa kesal mula timbul bila mengigatkan kembali saat keluar dari hotel tadi, kami sama-sama berpesan sesama sendiri agar membawa kamera untuk mengabadikan suasana Subuh pertama di Madinah. Terasa keadaan semakin menjadi cemas. Mana pula hendakku sorokkan kamera-kamera ini, bisik hati kecilku. Beg kami pula bukanlah yang jenis berpoket. Ah! Tawakkal jerlah, cuba je masuk. Mana tau, kot2 lepas... Seperti yang dijangka, kami disekat masuk kerana kamera-kamera kami. Azan Subuh mula berkumandang. Kami jadi panik dan timbul rasa kekesalan kerana membawa kamera. Nak balik hotel memang tak berbaloi kerana agak jauh. Rasa kesal kian memuncak kerana kemungkinan besar kami tidak dapat menunaikan solat di ruang saf dalam pada hari pertama ini. Tanpa disangka, rakan sebilikku, kak Ija, menawarkan diri untuk bersolat di luar agar dapat menjaga kamera kami dan meminta agar aku dan anaknya saja yang masuk ke dalam. Aku jadi serba-salah. Namun atas desakan beliau berkali-kali, akhirnya, kami akur dengan keputusan beliau. Terima kasih K. Ija kerana sudi memberi laluan kepada kami berdua bersolat di ruang saf dalam masjid untuk hari yang pertama ini. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas pengorbanan akak.

Pesanan: Untuk sahabat-sahabat yang hendak ke sana nanti, jangan bawa kamera ke dalam masjid nabawi. Anda mungkin tidak berpeluang masuk langsung kerana spot check mereka sangat ketat!


Sarapan pertama di Madinah


Sewaktu di Malaysia, aku kerap membayangkan hidangan makanan di Mekah semestinya makanan Arab belaka seperti kebab, roti, ayam panggang dan yang sewaktu dengannya. Tetapi, bila aku tiba di sini, aku silap sebenarnya. Rupanya menu hidangan di sini sama seperti negara sendiri, nasi lemak dan bihun goreng belaka. Apa lagi, Allahumma bariklana ..


Taman Ilmu, Taman Syurga Ar-Raudhah


Sebenarnya ziarah pertamaku ke taman syurga Raudhah agak kelam-kabut sampaikan aku rasa macam tak ‘sah’ dan ada yang tak kena. Aku tidak puas-hati dan bertekad untuk kembali lagi malam nanti. Salah aku juga sebab tak perasan rupanya ada ketua rombongan yang akan pandu kami ke Taman tersebut. Dahler tak pandai cakap Arab, bila terlepas rombongan, terpinga-pinga bila tengok muslimat berebut nak masuk ke ruang menghampiri Taman Raudhah. Aku pun ikut masuk tanpa memahami bagaimana rupanya taman syurga Ar-Raudhah. Sempat aku memasang telinga dok mendengar penjelasan dari seorang mutawiffah rombongan dari tanah seberang. Baru aku sedari yang rupanya aku hampir menjejakkan kaki ke tanah syurgawi itu. Buku yang tergantung di leher ku segera kubuka untuk dibaca sewaktu kaki kanan mula memijak karpet hijau menandakan bahagian lantai taman Ar-Raudhah. (Untuk makluman, ruang karpet hijau ialah tanda lantai taman syurga ar-Raudhah dan pemisah bagi lantai-lantai masjid Nabawi).


Sebaik keluar dari taman ar-Raudhah dan melintasi kubur Pemimpin Agung Rasulullah SAW dan para sahabat-sahabat baginda, Saidina Abu Bakr dan Saidina Umar, hatiku terdetik, patutler aku perasan ada banyak signboard yang bertulis ‘Bahasa Melayu’, ‘Pakistan’ dan bermacam lagi yang pegang oleh mak-mak arab berjilbab. Rupanya mereka itu ialah pemandu pelancong ‘short distance’ rupanya. Setiap Negara atau benua seperti benua asia dibahagi-bahagikan mengikut ketua rombongan agar memudahkan proses ziarah ke taman Raudhah yang berada di dalam kawasan masjid Nabawi. Waktu ziarah pun ada timing khas rupanya, samada lepas zohor ataupun lepas isya’. Takper, malam ni datang lagi, tekadku untuk hari ini.

Selesai solat isya’, aku dan rakan sebilik terus mencari mak arab yang memegang sepanduk ‘Bahasa Melayu’ dan kami duduk berkumpul di satu sudut bersama-sama muslimat serumpun yang datang dari Brunei, Indonesia dan Singapura. Tempoh menunggu rupanya lama jugak. Macam dekat 2 jam tunggu barulah kami dibawa masuk. Itupun kena tunggu pintu utama ar-Raudhah di dewan muslimat dibuka. Mula-mula dibuka, kumpulan yang dibawa masuk ialah dari benua Hindi. Sebaik saja pintu gerbang ke taman Raudhah dibuka, tiba-tiba aku dengar bunyi berdetum yang sangat kuat seolah pintu yang sebegitu besar macam nak pecah. Rupa-rupanya kumpulan yang dilepaskan awal tadi merempuh masuk ke pintu besar dan aku dapat bayangkan rempuhan mereka seolah macam kuda-kuda liar dilepaskan dari kandang lagaknya. Melihat gelagat mereka, aku rasa bersyukur kerana kumpulan bahasa Melayu dibawa kemudian selepas mereka. Memang patutlah diasingkan mengikut benua, katakanlan diletakkan sekumpulan bersama mereka, mau jugalah yang kene pijak ikut suka mereka.

Tiba giliran kami yang berbahasa melayu dibawa masuk. Aku tekad nak buat yang terbaik dan menggunakan kesempatan yang ada untuk bersujud lama di ‘karpet hijau’. Aku tak peduli, siang tadi banyak sungguh kesangsianku macammana nak buat itu dan ini. Kali ini aku harus yakin sebab bukan senang nak berulang-alik menziarahi Taman Ar-Raudhah yang menjadi rebutan setiap para pengunjung masjid Nabawi. Bila kaki mula menjejak ke karpet hijau, pantas mulutku berkomat-kamit membaca doa dari buku yang ku pegang ketika masuk tadi. Kelihatan malam lebih tenang dari asakan orang berbanding siang. Teringat kata-kata ustaz Mardan, “Bila pulang ke Malaysia nanti, carilah taman-taman raudhah di tempat anda pula, iaitu di majlis-majlis ilmu. Di situlah letaknya taman-taman Raudhah yang paling hampir dengan kita”. Ya, InsyaAllah, akan ku pegang kata-kata ini.

Seusai menziarahi Taman Raudhah, kami melintasi maqam kekasih Allah, Rasulullah SAW dan diikuti Saidina Abu Bakar As-Sidq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Utman Bin Affan. Terasa bagaikan semuanya seperti mimpi belaka. Tiada kata-kata yang mampu ku lafazkan sepanjang melintasai maqam-maqam agung pemimpin-pemimpin terbilang. Diri ini terlalu kerdil ya Allah.


Untuk makluman, taman syurga Ar-Raudhah ni ada juga dibuka selain dari waktu di atas tapi itupun untuk VVIP. Kalau setakat orang biasa, ikut waktu biasa jerlah ye melainkan anda berjaya menukar status anda kepada VVIP.

Kubur Baqi’

Kubur Baqi’ terletak di luar kawasan masjid Nabawi tidaklah terlalu jauh untuk berjalan kaki. Menurut cerita yang aku baca secara dasar tentang kubur Baqi’ ini agak menarik. Rasulullah membina kawasan perkuburan khusus untuk umat Islam bagi memuliakan dan mengasingkan jasad-jasad umat Islam yang awal memeluk agama Islam termasuklah keluarga baginda. Menurut sumber yang aku baca dari internet pula (tak tauler sahih ke tidak), kawasan perkuburan ini pernah cuba dimusnahkan oleh pihak-pihak tertentu namun, Alhamdulillah ianya dibangunkan kembali oleh pihak-pihak ‘lain’. Waktu ziarah perkuburan ini agak terhad dan ikut pengalaman aku, ia dibuka selepas asar. Itupun, Muslimin sahaja yang dibenarkan masuk, Muslimat dok luar tengok dari pagar yang dibina agak tinggi. Dan salah satu aktiviti yang aku lihat di sini ialah ramai pengunjungnya memberi burung-burung merpati makan. Dengar cerita, ada kisah di sebalik memberi burung-burung ni makan. Tapi aku belum berkesempatan men’google’ kisah tersebut.


Jabal Magnet (Bukit Magnet)

Jabal Magnet merupakan penemuan baru di akhir 90an atau mungkin awal tahun 2000. Ia adalah sebuah kawasan bukit-bukau yang kosong tapi sebenarnya menyimpan kisah misteri yang belum lagi terungkai hingga ke hari ini. Setiap pemandu yang melalui jalan-raya di sepanjang bukit-bukit tersebut akan berasa takjub kerana mereka tidak perlu menekan padel minyak sebaik sahaja enjin kenderaan dihidupkan dan ia akan bergerak dengan sendirinya dan akan mencecah kelajuan sehingga 180kilometer sejam. Pemandu hanya perlu mengawal padel brek di sepanjang perjalanan. Dikatakan penemuan ini berlaku ketika pihak kerajaan Arab Saudi sedang cuba menjalankan kerja-kerja pembinaan lebuh-raya yang besar. Namun, kerja-kerja tersebut tergendala kerana setiap kenderaan yang cuba melalui jalan-jalan yang baru diterokai akan mengalami kejadian aneh di atas umpama kenderaan mereka ditarik oleh sesuatu. Anehnya, tiada sebarang bukti fizikal dijumpai iaitu asbab kepada kejadian aneh tersebut.

Seorang sahabat pernah menonton dokumentari tentang Jabal Magnet ini dan ianya ada hubung-kaitnya dengan kedudukan pusat bumi yang berkemungkinan besar adalah di sekitar kawasan jabal Magnet tersebut. Allahu A’lam.


Miqat di Bir Ali & Pakaian Ihram

Tiga hari di Madinah telah berlalu dan kini tiba masanya kami memulakan perjalanan umrah ke Mekah. Miqat pertama bagi mereka yang datang dari arah Madinah ialah di Bir Ali kerana di sini ialah ‘pintu utama’ yang ditetapkan oleh Rasulullah SAW untuk memulakan Miqat dan menukar pakaian ihram. Pemakaian umrah haruslah mengikut garis-panduan yang ditetapkan dalam panduan Umrah. Bagi kaum lelaki, mereka harus menukar pakaian mereka kepada pakaian ihram. Manakala bagi wanita memadailah menutup aurat kecuali muka dan pergelangan tangan iaitu dengan memakai set telekung berwarna putih yang tidak menampakkan susuk tubuh ataupun jarang. Kemudian, kami diminta menunaikan solat dua rakaat tahiyyat masjid dan dua rakaat lagi solat sunat ihram. Seusai solat, kami kembali menaiki bas dan memulakan perjalanan. Sewaktu kenderaan mula bergerak, Ustaz Mardan membimbing kami berniat ihram. Niat ihram mudah sebenarnya tapi untuk wanita ada tambahan niat lain iaitu bagi mereka yang dikhuatiri tidak sempat menghabiskan kesemua rukun umrah kerana datang bulan, maka harus bagi berniat ihram bersyarat.

Maka bermulalah episod kami mengerjakan umrah langkah pertama. Tiba-tiba hatiku berdebar dan terasa perasaan gemuruh menyelubungi diriku. Ustaz Mardan meminta kami mengikuti beliau bertalbiah beramai-ramai. Aku ikut bertalbiah perlahan-lahan tapi entah kenapa, setiap lafaz yang keluar dari bibirku, mataku menjadi berkaca-kaca lalu air mata mengalir laju membasahi pipi dan telekungku. Perasaan gemuruh, takut, malu, risau, gembira, takjub dan tidak percaya berdegup pantas dalam setiap nafasku. Aku mula muhasabah diri kenapa aku jadi begini. Perasaan takut dan malu terasa menjalar ke seluruh tubuhku. Alangkah malunya diri ini untuk melangkah masuk ke rumah suciNya. Betapa bertimbun dosa dan noda ku terpaksa ku bawa sekali mengadap sembah di rumah Yang Maha Agung. Terasa air mataku semakin mengalir deras membasahi pipi …

Kaabah di hadapanku


Perjalanan yang ditemani alunan talbiah akhirnya sampai jua di lapangan kota Mekah. Subhanallah, cahaya kota Mekah tampak jelas di keheningan malam. Aku terpaku. Setibanya di perkarangan hotel, kami membawa masuk bagasi ke dalam bilik yang telah disiapkan awal dan harus segera bergegas turun ke Masjidil Haram menunaikan solat Isya’ jama takhir dan seterusnya ibadah umrah. Kami berjalan beramai-ramai menuju ke Masjidil Haram. Kaabah kini kian hampir denganku. Suasana Masjidil Haram walaupun larut malam tetapi masih sibuk dikunjungi ribuan manusia pelbagai warna kulit. Seolah tiada istirehat untuk Rumah Allah menerima kedatangan tetamu dari serata pelosok dunia. Selesai solat Isya’ jama, kami diberi arahan menuruni anak tangga ke Baitullahil Haram. Bagaikan tidak percaya aku sudah berada di depan rumah Allah. Aku menjadi kaku sebentar. Buku panduan Umrah yang tergantung di leher kami segera kami buka sambil di acara oleh Mutawif, Ustaz Mardan. Risau takut-takut lututku buat hal, aku tetap kuat meneruskan tawaf sehingga tujuh pusingan.


Sai’ Safa dan Marwah – ‘walkaton’ yang panjang


Alhamdulillah, kami selesai menunaikan satu rukun Umrah. Kini tiba pula giliran Sa’i. MasyaAllah, rupanya jauh sungguh perjalanan sa’i ini. Tidak tergambar bagaimana Siti Hajar berlari-lari anak dari Safa ke Marwah demi mencari air untuk anaknya yang tercinta. Berlari di bawah terik matahari , tanpa sepatu yang membaluti tapak kaki beliau dan keadaan batu-batu bukit yang tidak rata dan tajam, sungguh bagaikan tidak percaya betapa payahnya situasi Siti Hajar ketika itu. Timbul rasa insaf dan syukur di atas nikmat Allah SWT yang tidak terhingga jika dibandingkan dengan keadaan kita pada hari ini. Ibadah Sa’I yang jauh lebih santai adakalanya membuat kita alpa akan maksud sebenar ibadah Sa’I ini. Masakan tidak, dengan penambahbaikan yang ketara seperti pembinaan bumbung yang melindungi panas matahari, lantai Sa’i yang bertukar kepada batu marmar yang licin dan selesa, dipasang pula kipas dan aircond selama 24jam bagi keselesaan jemaah bahkan disediakan juga tong air zam-zam di kiri dan kanan tempat Sa’I, bukankah kita jauh lebih bertuah dari keadaan Siti Hajar? Tapi mampukah kita semua mampu menghadirkan rasa insaf dalam diri akan kepayahan seorang wanita yang redha dengan ketentuan Ilahi bahawa dia ditakdirkah hidup serba-sukar tapi tetap tabah meneruskan perjuangan hidup anak beranak? Aku jadi malu sendiri.

Kaki terus berjalan biasa. Alhamdulillah. Dikatakan perjalanan dari Safa ke Marwah ialah sepanjang 91meter dan jumlah perjalanan sebanyak 7 kali pusingan ialah lebih kurang 3.15kilometer!. Huhu.. Aku berjaya habiskan kesemuanya! Alhamdulillah.

Terakhir, rukun umrah bertahalul. Maka selesailah sudah Umrahku yang pertama dan aku tekad membuat sebanyak-banyaknya sepanjang aku di sini.


Diuji dengan sakit yang teramat di awal kehadiranku di Kota Madinah Munawarah


Terasa sakit radang sendiku seolah akan kembali lagi. Dah lama rasanya aku tidak merasai kesakitan ini tetapi bila diserang ia lambat sembuh. Semakin dekat hari keberangkatanku semakin aku terasa kesakitannya. Tapi oleh kerana tahap kemalasan yang tinggi untuk mengambil supplement maka lututku pun semakin lemah tanpa ‘minyak pelincir’. Tambahan pula dengan kesibukan 3-4 hari berturut-turut untuk menyiapkan kerja-kerja ofis sebelum bercuti panjang dan juga sibuk membantu majils walimah adikku memaksa aku untuk lebih agresif berkejar ke sana-sini. Nah, sebagai balasan, lututku bagai didera dengan teruk sekali dan aku menjadi sangat keletihan di akhir majlis walimah. Usai majlis, aku sibuk packing barang-barang dalam keadaan yang kelam-kalibut dan semua ini tak lain tak bukan kerana persiapan di saat-saat akhir. Sampaikan ada je barang yang kejap macam dah masuk beg dan kejap lagi dikeluarkan. Last Minute things!

Ketika di Madinah, sakitku kian bertambah. Terasa sendi-sendi lututku seolah menyucuk-nyucuk setiap kali ku gerakkan kaki. Pedih dan sakit tidak terkata dan hanya Allah sahaja yang tahu. Pergerakanku terbatas dan rasanya duniaku seolah kaku. Ya Allah, aku risau, cemas dan takut.
Ku ajukan permasaalahan ku kepada ketua rombongan dan mutawif kami kerana aku khuatir ia akan menjejaskan ibadah umrahku nanti. Ketua rombongan memberi semangat supaya jangan risau kerana jika sakitku berterusan, beliau mencadangkan untuk menggunakan perkhidmatan penolak kerusi roda. Manakala Ustaz Mardan pula menasihatkan agar banyakkan berdoa kepada Allah, ambil air zam-zam dan niat syifa’ seraya membaca basmalah dan selawat lalu diminum. Kemudian baki air itu untuk disapukan pada lutut. Segara ku amalkannya. Aku harus lawan sakitku ini dan aku harus gagah berjalan seperti biasa agar bisa mengerjakan ibadah umrah seperti sahabat yang lain. Aku mesti kuat, tekadku.



Sebenarnya aku sendiri tidak berapa ingat yang kakiku sudah pulih dari kesakitan yang teramat sewaktu di Mekah. Yang pasti, aku telah selesai menjalani ibadah Umrah. Tapi hati ini menjadi sangat teruja dan takjub bilamana ketua rombongan memberitahu ayahku bahawa dia kagum melihat kesungguhanku menyelesaikan kesemua rukun umrah seolah sakit lututku sudah sembuh sepenuhnya. Aku tergamam mendengarnya!. MasyaAllah, sungguh aku terlupa akan kesakitan itu. Aku senyum kegembiraan. Ucapan syukur yang tidak terhingga pada Maha Pencipta, Maha Penyembuh luka lara hamba-hambaNya. Tapi, dek kerana seronok yang tidak terhingga, acap kali aku ke Masjidil Haram ataupun pulang ke hotel, aku pasti berlari laju keriangan macam cerita Avatar yang sangat teruja kerana akhirnya mendapat sepasang kaki yang diidam-idamkan. Hehe..


Sehasta kita mendekati Allah, sedepa Allah mendekati kita.



Sepanjang aku berada di sana, aku cuba merebut peluang beramal dengan cara yang termampu. Aku memang kurang bershopping berbanding sahabat-sahabatku lain. Sangat kurang. Tapi yang pasti, entah kenapa perasaan ini terdorong mengintai setiap peluang untuk beramal dengan cara waqaf dan bersedekah (al-maklum, aku bukannya bawa duit yang banyak manapun cuma setakat duit kecemasan saja). Orang bagi Quran, aku juga cuba bagi Quran, orang sedekah kepada pencuci-pencuci masjidil haram, aku juga tidak ketinggalan berbuat demikian. Bak kata pepatah, hati ini jadi ringan semacam dari kebiasaan untuk menghulurkan sedekah. Alhamdulillah.

Rupanya, amalan-amalan tersebut dibayar tunai oleh Allah. Pakcikku yang bekerja dan tinggal di Jeddah datang menziarahi kami anak-beranak. Alangkah terkejutnya aku apabila pakcik menghulurkan duit poket sejumlah empat angka riyal kepadaku!. MasyaAllah. Aku tergamam. Syukur kepada Mu Ya Allah, di saat aku tidak terfikir untuk mengharap balasan di dunia ini, Engkau tunaikan juga bayaran di dunia ini walaupun sedekah, wakaf dan ibadah-ibadah yang telah aku lakukan tidaklah seberapa. Aku insaf ya Allah.

Mendaki Jabal (bukit) Nur

Sebenarnya pakej umrah yang aku sertai tidak termasuk lawatan ke Jabal Nur. Lawatan ini dikenakan bayaran asing dari harga pakej yang disediakan. Apabila pihak pengurusan mengumumkan lawatan ke Jabal Nur, aku segera mendaftar diri. Manakala, waktu yang ditetapkan memanjat bukit adalah pada waktu malam dan ini untuk mengelakkan dari cuaca siang yang sedang panas ketika itu.

Sampainya kami di kaki bukit Nur, aku terkejut kerana tiada lampu suluh diberikan kepada kami. Apa! Panjat bukit dalam keadaan gelap?. Memang tak kena. Tapi dek kerana semua orang mula memanjat tanpa membantah, aku pun turutkan juga. Mula-mula memanjat memang ter ‘over’ seronok, tapi bila dah suku jalan kemudiah tengah bukit dan kemudian tiga per empat bukit, kaki dah terasa penat semacam. Namun, bila terasa diri kian hampir dengan gua Hira’ semuanya kembali tengan. Rasa yang macam nak pengsan bertukar menjadi perasaan gembira, terharu, takjub dan bermacam-macam lagi. Bayangkan panjat bukit jer nak masuk 2 jam. MasyaAllah.

Tapi itulah sunnah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW ketika beruzlah di gua Hira’ yang terletak di puncak Jabal Nur dan satu lagi fakta baru yang baru aku ketahui ialah Saidatina Khadijah yang ketika itu sudah tua juga selalu memanjat ke atas bukit semata-mata menghantar makanan untuk suami tercinta!. MasyaAllah!. Kuatnya fizikal beliau. Bahkan, ada pula yang berkata ketika itu Saidatina Khadijah sedang mengandungkan anak perempuan bongsu iaitu Saidatina Fatimah. Takjubnya…Subhanallah. Bukan senang nak panjat bukit yang sangat tinggi itu bahkan masa yang diperlukan memanjat dan kemudian turun mengambil masa kira-kira 4 jam. Zaman Rasulullah mungkin tiada tangga untuk naik ke atas bukit seperti sekarang dan bayangkan kesukaran ketika itu. Justeru, bagi kita yang ada peluang untuk panjat bukit Nur, rebutlah peluang ini demi menjiwai setiap jejak langkah Rasulullah SAW, keluarga dan para Sahabat baginda.

Begitulah antara catatan-catatan yang dapat ku kongsikan bersama sepanjang ibadah umrah di kedua-dua kota suci umat Islam. Ingatan ini sentiasa terpahat di sanubariku. Puji dan Syukur kepada Mu Ya Allah kerana sudi menerima kehadiran hambamu yang fakir lagi menanggung dosa.

No comments: