Thursday, December 16, 2010

Warkah 23 September 2010 untuk bonda tercinta

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi & Maha Pengasihani


Mak,


Sudah beberapa minggu along menghirup udara bumi Syam. Raut wajah mak sentiasa terbayang di segenap langit Syam. Kita berkongsi langit yang sama tapi langit mak di sana lebih pantas menyinsingkan fajar mentari berbanding langit along di sini. Namun perjuangan along di sini seharusnya pantas mengejar langit mak di sana supaya along sentiasa di sisi mak. Along menyimpan seribu harapan untuk belajar bersungguh-sungguh di sini dan pulang sebagai wirawati kesayangan mak. Anak bekas seorang ‘cleaner’ pulang membawa kejayaan besar untuk ibu tercinta. Biar orang tahu siapa along ini anak siapa. Tapi mak, umpama setinggi gunung himalaya along memohon sujud di kaki mak, janganlah mak sekali-kali berputus doa ke hadrat Ilahi, meratap kepadaNya agar diberi kesejahteraan dan dipermudahkan segala urusan along di sini, tidak lupa juga untuk anak-anak kesayangan mak sekaliannya.











Mak,

Kota Syam di sini indah sekali dan cantik rupawan orang-orangnya. Jika kita di Malaysia sering dihidangkan dengan tayangan drama dan filem buatan mat saleh yang tidak pernah luput menayangkan kecantikan orang-orangnya, Syria boleh dikatakan berkali ganda lagi hebat rupawan orang-orangnya. Sayang sekali, dek kerana rupa, makin ramai gadis dan wanita yang menelanjangkan kepala mereka dari ditutup sehelai kain. Rupa dan lagak gaya mereka tidak ubah seperti orang-orang bukan Islam Eropah. Pun begitu, yang bertudung masih ramai tapi tak banyak beza dengan negara kita, yang muda tidak ketinggalan ikut berfesyen ketat umpama sarung nangka. Ingatan along segera melayang kepada adinda-adinda kesayangan yang sering mempertahankan fesyen pakaian mereka tidak seketat mana.

Mak,

Hari ini ialah hari ke 23 kita berpuasa. Sedar tak sedar, kita sudah menginjakkan kaki ke fasa ke 3 dalam bulan Ramadhan. Fasa yang dengannya, jika beroleh fadhilatnya, InsyaAllah dengan rahmat Allah yang bersifat Maha Pemurah, kita sama-sama akan dijauhkan dari api neraka. Mak, sedang api kecil di dunia ni tidak mampu kita bermain dengannya apatah lagi mahu merasa bahang api neraka di sana. Gandaan kepanasannya tidak terkira, bahangnya menggerunkan bakal penghuninya. Terpekik terlolong kehausan dan kepanasan. Along jadi takut mak. Along takut memikirkannya. Along takut masa hadapan kita di akhirat. Along nak kita bersama jauh dari neraka. Marilah mak, along seru kepada mak agar kita sama-sama menghayati fasa ke-3 ini. Along akui, kita mungkin telah tertinggal menghayati fasa pertama dan kedua sebelum ini. Tapi masih belum terlambat untuk kita mengejar saki baki yang tertinggal. Ini kerana Allah Subhanahu WaTaala Maha Pemurah lagi tidak akan pernah tertinggal mengawasi amalan hamba-hambaNya. Kita masih sempat mak. InsyaAllah.



Yang merinduimu selalu,
Along - Nor Hafizah - 1431H
Dimasq - Syria

No comments: