Showing posts with label ultraman. Show all posts
Showing posts with label ultraman. Show all posts

Friday, September 06, 2013

Senjata canggih - zikir

Masih aku ingat perbualan aku dengan seorang jemaah t........... 
"Musuh Islam sedang mencipta senjata dan alat yang boleh mengesan dengan mudah identiti dan lokasi setiap orang Islam. Ketika itu umat tidak ada senjata lain selain dari berperang dengan zikir." Katanya dengan semangat dan konfiden. 
“Sejak dari perang Badar lagi, sekumpulan sahabat telah diasingkan dari berperang dan kerja mereka ini hanya berzikir sahaja dan inilah rahsia yang ramai tak tahu perlunya ada kumpulan berzikir dalam sebuah peperangan untuk membantu kemenangan Islam”.


Seriously, aku tak pasti adakah benar wujudnya kumpulan zikir tersebut dan setakat aku tanya seorang ustaz di sini, kumpulan zikir tu tidak pernah dibaca atau didengari dari pengetahuannya. Apapun, aku terpikir dan hairan dengan apa yang dikatakan melawan musuh dengan hanya duduk berzikir. Nabi sendiri pun pergi perang sampai dapat kecedaraan yang teruk. So, secara logiknya, kenapa Nabi Muhammad SAW tidak memilih untuk duduk berzikir jer dari guna fizikal. Bukankah baginda seorang nabi yang perlu dilindungi keselamatannya. Kenapa sejarah ulama di bumi Sham, Iraq, Turki, Mesir dan ramai lagi tidak memilih untuk duduk berzikir sahaja sedangkan mereka layak dilindungi? 


Aku pun mula berangan memikirkan keadaan kumpulan yang berzikir itu. Adakah sama seperti Ultraman Taro melawan raksasa angkasa seperti gambar di bawah. Tanpa menggunakan kekuatan fizikal, Ultraman bertafakur sebentar dan kemudian mengeluarkan energi solar dari tubuhnya lalu menembak sang raksasa. Hebat kot…. Kui kui kui




Kenapalah tidak diambil saja pendekatan dengan membayangkan suatu hari nanti Umat Islam akan terus ke depan mencipta pelbagai jenis senjata canggih dan luar biasa. Bayangkan bagaimana keadaan orang Islam yang penuh kreatif dan inovasi itu dilakukan dari hati yang ikhlas dan bibir yang sentiasa basah berzikir nama Tuhannya. Dalam erti kata lain, otak dan tangan tetap bekerja sebagaimana hati tetap ikhlas mengingati Maha Pencipta. 

Aku tidak menafikan kepentingan berzikir tapi aku juga yakin yang kita juga perlu berusaha dan usaha itu perlu datang dari hati yang bersih dan ikhlas. Di sinilah lahirnya output yang luar biasa sebagaimana yang kita lihat di zaman kegemilangan Islam dulu pun telah membuktikannya. Sebut sahaja Ibn Sina, Ibn Jauzi, al-Khawarizmi dan ramai lagi. Adakah mereka berzikir semata? Katalah mereka mengamalkan zikir sahaja tanpa usaha, bagaimana pula dengan ciptaan mereka menghasilkan penawar penyakit dan alatan bedah serta teori matematik yang masih diamalkan sehingga kini. Allahu A’lam bisawab. 


Bagi aku, doa yang berterusan, usaha yang berlandaskan keikhlasan dan memaknai hukum tawakkal adalah tiga perkara yang dinilai oleh Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya dalam surah At Taubah ayat 105 yang bermaksud :

 Dan katakanlah wahai Muhammad “ Hendaklah kamu semua berusaha (beramal ) kerana Allah akan melihat dan menilai apa yang kamu usahakan .”


Kesimpulan yang boleh diambil dari coretan ini ialah, kita perlukan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan. Zikir adalah dalam kelompok doa dan ia memang penting dan tidak boleh ditinggalkan tapi ianya harus diiring dengan usaha dan tawakkal. Bayangkan jika kita lapar, lepastu kita berzikir jer tanpa ada usaha nak cari nasi, mee atau roti. Adakah sampai makanan tu kat mulut kita kalau bukan kita yang perlu mencarinya dan menyuapkannya ke dalam mulut kita lalu terjadilah proses penghadaman sehingga menjadi darah dan daging. Bukankah di situ ada watak USAHA? Jadi, bolehkah kita hanya berzikir sahaja? Allahu A’lam bisawab.