Thursday, December 16, 2010

Asyura – Memahami kelebihannya dan menyingkap tabir kisah dan peristiwa di sebaliknya

Hari Asyura - 10 Muharam 1432


Teringat masa mula-mula aku mengenali hari Asyura dan bagaimana ia disambut dengan meriah. Ketika itu aku di awal tahun persekolahan di pondok Pak Ya, Padang Lumat, Gurun, Kedah. Kami pelajar junior diminta berpuasa pada hari tersebut dan pada siang harinya, aku melihat kakak-kakak senior sibuk bergotong-royong menyediakan bahan masakan bubur seperti tepung, jagung, kacang, gula dan sebagainya. Kemudian bahan tersebut di masak di dalam kawah sambil dikacau beramai2 seperti mengacau dodol. Sesudah masak, ia akan dituangkan ke dalam acuan dulang dan kemudian disejukkan supaya menjadi keras sedikit dan rupanya seakan-akan tepung talam kecuali ia mempunyai inti pelbagai kekacang dan manisan. Itulah pertama kali aku mengenali bubur Asyura versi Kedah. Rasanya sedap terutama dimakan ketika panas...huhuhu.

Dari pengamatan yang aku lihat sepanjang penyediaan bubur Asyura ini ialah penyediaannya agak rumit dan memenatkan kerana mengambil masa yang lama sebagaimana penyediaan dodol (siapa pernah berpengalaman masak dodol, tahulah bagaimana susahnya masak bubur Asyura). Apapun, fadhilat bekerja secara berpasukan ini ialah, kerja yang susah akan menjadi mudah bahkan jalinan silaturrahim akan menjadi lebih ceria dan bahagia. Cuma, pada ketika itu, aku tidak menghulurkan sebarang bantuan melainkan tolong makan kerana ketika itu aku masih terlalu naif untuk me’ringan’kan tulang-tulang dan otot-ototku. Alasan paling selamat untuk jadi pemerhati tidak rasmi bangsa-bangsa bersatu.

Kini, aku di bumi Anbiya, Syam, sekali lagi di beri peluang oleh Allah SWT untuk hidup pada sekelian harinya lantas dapat meraikan hari Asyura yang jatuh pada hari Khamis 10 Muharam 1432 Hijriah. Alhamdulillah. Di antara amalan-amalan yang baik yang dapat dikongsi bersama ialah amalam memperbanyakkan bersedekah. Tentu saja sedekah yang paling mudah ialah dengan memberikan senyuman. Jika senyum anda sebelum ini mungkin tawar rasanya maka tambahkanlah ‘gula’ agar terasa manis senyumannya dan begitu jugalah amalan-amalan sedekah lain yang mudah dilakukan tetapi jarang juga dilakukan ialah seperti yang telah dimafhumkan oleh Rasulullah SAW iaitu membuang batu atau benda tajam di tepi jalan.


Selain dari amalan bersedekah, amalan berpuasa juga amat digalakkan dan antara hadith Rasulullah SAW yang membicarakan tentang puasa sunat ini ialah;

“Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”.(Hadith Sohih Riwayat Imam At-Tirmizi).

Selain berpuasa pada hari ke-10, umat Islam digalakkan juga berpuasa pada ke-9 atau dipanggil hari Tasu’a;

Daripada Ibn Abbas RA berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura, baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: “Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9”. Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim).


Sesungguhnya, hari Asyura tidak akan menjadi lengkap jika kita tidak cuba menyingkap tabir sejarah yang menutupi misteri hari tersebut. Maka di sinilah umat Islam harus mencelikkan mata hati dan jiwa agar mengambil iktibar dan bermuhasabah diri daripada kisah-kisah nabi dan peristiwa penting yang terdapat padanya. Antara sejarah penting yang termaktub pada hari 10 Muharam ini ialah kisah Nabi Nuh dan pengikutnya yang telah diselamatkan oleh Allah SWT dari musibah banjir yang amat dasyat. Begitu juga kisah Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya yang lari kerana dikejari oleh Firaun yang zalim lalu cuba menyeberangi laut merah yang besar lagi luas dan kemudian laut itu pun terbelah dua dan pada hari itu jualah Firaun dan konco-konconya yang terus mengekori Nabi Musa telah ditenggelamkan oleh Allah SWT ke dalam laut tersebut dek kerana keangkuhan dan kezalimannya. Peristiwa lain yang tidak kurang pentingnya pada tanggal 10 Muharam ini ialah kisah pembantaian dan pembunuhan yang menyayat-hati dan merobek-robek hati bagi mereka yang membaca kisah beliau ialah kisah pembunuhan tragis Saidina Husain Bin Saidina Ali Karamalllahu Wajhah, cucu kepada insan mulia Rasulullah Muhammad SAW (Hatiku tidak mampu lagi membicarakan ayat selanjutnya.

Sejarah tetap sejarah namun mata rantai perjuangan tidak akan putus melainkan kiamatnya dunia. Sebagai penutup bicara kalam kelebihan hari Asyura ini, ku tujukan buat diriku yang sentiasa alpa, untuk ibuku yang sentiasa mendoakan anak-anaknya dan untuk adik-adik yang menjadi tunjang jiwa dan raga juga untuk sahabat-sahabat yang dipersaudara atas nama ukhuwah Islam yang mulia. Moga kita mengambil peluang ini untuk terus mengingati dan menghayati semangat hari Asyura yang terdapat seribu nikmat, peristiwa dan pahala. Allahu A’lam.



Along - Fiza
10Muharam 1432H
Mujtahid-Dimasyq-Syria

No comments: