Sebelum bekerja di perpustakaan, saya kurang nampak
kepentingan dan peranannya melainkan tempat untuk membaca dan mencari buku. Tak
nampak pun tujuan lain melainkan tentang buku dan buku dan buku!…huhu. Namun, semuanya
berubah bila saya menyertai jabatan ini. Hari demi hari saya melihat
perkembangan yang berlaku. Jika dulu peranannya sangat terhad iaitu memberi
ruang untuk penggunanya mencari bahan maklumat dan ruang membaca, kini
perpustakaan telah mengorak selangkah ke hadapan dengan memberi perkhidmatan tambahan
baru seperti yang ditawarkan di PPAS iaitu perkhidmatan 3D, XD dan Gym.
Baru-baru ini, saya berpeluang menyertai kursus di luar dan
..masya Allah, saya rasa teruja kerana didedahkan dengan maklumat baru.Maklumat baru ini mengajak kami sebagai peserta untuk bersama-sama
memikirkan apakah masa depan perpustakaan masih relevan di era teknologi alam
maya ini? Statistik yang saya dapati di internet menunjukkan angka peningkatan
yang sangat menggalakkan di kalangan pengguna internet di Malaysia dan ia
meningkat dari tahun ke tahun. Kebanyakkannya dilayari menggunakan telefon
pintar dan tablet selain PC. Jadi, masih
relevankan sebuah perpustakaan?
Setelah diberi penerangan hasil perkongsian rakan penceramah,
peranan perpustakaan tetap masih relevan dan mesti dikekalkan namun skop
perkhidmatannya harus diperluaskan ke tahap yang jauh sebagaimana perpustakaan
di negara luar seperti Hong Kong, Korea dan Alexandria, Mesir.
Langkah PPAS dalam memperkenalkan penjenamaan semula harus
dipuji kerana tindakan mereka telah memberi impak yang besar kepada peranan
perpustakaan. Jika dulu, angka pengunjungnya agak rendah berbanding tahun
sebelumnya tetapi setelah PPAS membawa konsep “PPAS rumah keduaku”, ia telah
Berjaya menarik sejumlah pengunjung baru berbanding tahun sebelumnya. Malah
PPAS “tidak lari dari tajuk mereka” iaitu bertujuan menyuapkan minda
penggunanya dengan pemakanan yang sihat bahkan menyediakan terapi fizikal dan
hiburan bersifat edutainment. Sesuatu yang pelik didengari oleh sesiapa yang pertama
kali mendengarnya jika diberitahu kepada mereka, “Kami ada Teater 3D, XD dan
Gym di sini!”. Pelik tapi sangat berbaloi bila kita faham akan konsep yang cuba
dibawa oleh PPAS. Syabas PPAS!
Di negara Korea misalnya, sebuah perpustakaan universiti telah
melalui fasa penjenamaan semula di mana perpustakaan mereka dilengkapi komputer
media dan peralatan canggih serta dekorasi di setiap ruang tingkatnya dihiasi
konsep futuristik. Manakala perpustakaan di Hong Kong pula, siapa sangka dalam
sebuah perpustakaan boleh ada sebuah kafe untuk penggunanya menikmati kopi
panas sambil membaca buku. Ini semua bukan sahaja dapat menarik ramai
pengunjung malah memberi tarikan baru bagi sesiapa yang tidak pernah melangkah
ke perpustakaan. Begitu juga di perpustakaan di Alexandaria di
mana ada sebuah mini muzium untuk pengujung yang mungkin tujuannya hanya ingin
meninjau. Boleh jadi kunjungan pertama memberi kesan untuk seseorang hadir
kembali di akan datang ~ Love at first sight.
Bayangkan jika perpustakaan di atas ada di tanahair kita.
Membaca buku di taman sambil menghirup secangkir teh, atau melihat warisan
khazanah di sebuah muzium dalam ruang perpustakaan, atau melihat kawanan
binatang di mini zoo atau mungkin juga mewujudkan sebuah planetarium!. Bukankah ini dapat mengisi ruang masa bersama
rakan dan taulan dengan sesuatu yang bermanfaat.
Kesimpulannya, perpustakaan tetap relevan sejak awal
kewujudannya iaitu dikatakan sejak zaman kerajaan Rom lagi. Lama sungguh tu..
Saya pernah membaca sejarah tentang keperihatinan pihak pemerintah kerajaan
Islam menaik-taraf perpustakaan mereka bagi memudahkan capaian ilmu disalurkan
kepada rakyat dan tidak hairanlah zaman itu digelar sebagai zaman kegemilangan
kerajaan Islam kerana pada zaman itu lahirnya ribuan ilmuan terbilang yang
terkenal di seluruh dunia. Di sini saya sebutkan beberapa kerajaan Islam yang
sangat masyhur iaitu kerajaan Umayyah, Abbasiyah, Fatimiyyah dan Uthmaniyyah.
Justeru, tahun milenia dan yang mendatang, skop perkhidmatan
perpustakaan tidak harus ditakuk lama lagi malah perlu diperluaskan agar
generasi akan datang terus cemerlang dengan capaian sumber pengetahuan yang
jauh lebih senang .
No comments:
Post a Comment