Monday, August 26, 2013

Apabila menerima mesej dari FB Mama Mona, tanpa di sangka air mataku meluncur deras kerana risau akan keselamatan dirinya. Adakah kami akan bertemu lagi di dunia ini. Adakah aku berpeluang untuk peluk cium dirinya lagi?. Aku hanya mampu berdoa di sini, tidak ada kekuatan untuk berada di sampingnya atau menemaninya. Meskipun Mama Mona memang ada peluang untuk keluar dari kota Dimasq, tapi Mama Mona, seorang warga emas, juga seorang isteri dan suri rumah sepenuh masa memilih untuk berada sepanjang hayat menjaga suaminya tercinta yang terlantar di atas katil. Ya Allah, perit aku membaca tulisan Mama, apatah lagi Mama Mona yang terpaksa mengharunginya seorang diri. Kedua anaknya diminta keluar Syria dengan segera walau aku tahu anak-anaknya sangat berat untuk meninggalkan ibu mereka yang sudah tua. Namun, anak-anaknya terpaksa pergi kerana mereka juga mempunyai tanggung-jawap menyelamatkan nyawa anak-anak yang masih kecil. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Aku berdoa agar Mama Mona dapat keluar dari kota itu kerana serangan senjata kimia sedang merebak di sekitar bumi Dimasq dan terbaru khabar media menyatakan US akan menyerang Dimasq. Hati ini menjadi bertambah resah gelisah mengenangkan nasib Mama yang keseorangan bersama suaminya. Fikiran aku terus menerus membayangkan saat-saat perpisahan Mama Mona dengan anak-anaknya yang sangat menyedihkan. Kini hidup mereka penuh tawakkal. Entah esok masih bernafas lagi atau tidak, entah dapat menjamah makanan atau tidak, entah utuh lagi rumah didiami atau tidak sedang mereka dahulunya ku kenali sebuah keluarga yang harmoni dan kaya-raya. Aku selalu berdoa agar Mama Mona segera keluar dari bumi Sham dan agar dirinya selamat dari tembakan atau apa sahaja ancaman. Kini, aku hanya mampu berdoa kepadaMu ya Allah, Hasbunallah wa ni’mal wakil.



Aku teringat kisah seorang pemimpin agung di bumi Syam di bawah pemerintahan khalifah Umar Ibn Khattab iaitu Abu Ubaidah bin al-Jarrah. . Beliau seorang yang sangat zuhud sehinggakan Saidina Umar mengadakan kunjungan dan singgah di rumahnya di Syam, tak terlihat sesuatu pun oleh Umar ra kecuali pedang, perisai dan pelana tunggangannya. Lantar Umar pun bertanya, “Wahai sahabatku, mengapa engkau tidak mengambil sesuatu sebagaimana orang lain mengambilnya?”

Beliau menjawab, “Wahai Amirul Mukminin, ini saja sudah cukup menyenangkan.”

Ketika wabak penyakit Taun bermaharajalela di negari Syam, Khalifah Umar bin Al-Khattab ra mengirim surat untuk memanggil kembali Abu Ubaidah. Namun Abu Ubaidah menyatakan keberatannya sesuai dengan isi surat yang dikirimkannya kepada khalifah yang berbunyi,

“Hai Amirul Mukminin! Sebenarnya saya tahu, kalau kamu memerlukan saya, akan tetapi seperti kamu ketahui saya sedang berada di tengah-tengah tentera Muslimin. Saya tidak ingin menyelamatkan diri sendiri dari musibah yang menimpa mereka dan saya tidak ingin berpisah dari mereka sampai Allah sendiri menetapkan keputusannya terhadap saya dan mereka. Oleh sebab itu, sesampainya surat saya ini, izinkanlah saya menetap di sini.”

Selesai membaca surat tersebut, Khalifah Umar RA terus menangis, sehinggakan para hadirin kehairanan dan segera bertanya, “Apakah Abu Ubaidah sudah meninggal?” Umar menjawabnya, “Belum, akan tetapi kematiannya sudah di ambang pintu.”


Semoga Allah cucuri roh-roh mereka yang terkorban dalam wabak penyakit itu. Semoga Allah lindungi Mama Mona agar aku dapat kembali ke Dimasq dan mendakap tubuhnya dan berkata padanya “Mama Mona, saya sayangkan mama dan terima kasih atas segalanya. Semoga Allah temukan kita di syurga nanti.” s

No comments: