Sunday, September 08, 2013

Duhai Jari Kelingking

Pernah terfikir tentang fungsi jari kelingking anda? Cuba fikir apa fungsinya berbanding jari lain? Ceh...jangan nak jawap yang tak senonoh. Entri kali ni, bukannya nak suruh kaji apa kelebihan/kekurangan jari kelingking. Tapi saya nak mengajak diri saya dan para pembaca untuk mengambil sedikit masa merenungi kaitan nasib jari kelingking dengan kehidupan kita seharian.



Kita dikelilingi pelbagai rupa dan ragam insan setiap hari, ada yang sangat penting bagi diri kita dan ada pula yang sederhana pentingnya dan ada pula yang kurang penting. Bagi insan yang dianggap penting, kita pasti akan menyayanginya, menghargainya dengan cuba memenuhi segala keperluannya dan kalau boleh sentiasa memastikan dirinya bahagia bersama kita.

Tapi bagaimana orang yang kurang penting? Bayangkan orang yang hadir hanya sebentar sahaja seperti seorang tukang sapu, tukang isi petrol, tea lady, tukang cuci kereta, orang gaji, pengutip sampah, pekerja kontrak binaan, Pak Guard, tukang kutip tol, cashier, jaga Toilet dan ramai lagi. Pernahkah kita mengambil berat tentang mereka. Ada yang tidak perasan kewujudan mereka bahkan paling kasihan kalau ada pula yang memarahi dan menengking mereka ini dengan cara yang paling kasar dan hina. Baru ini aku menyaksikan seorang kerani dimarahi teruk oleh bosnya. Bukan besar manapun kesalahannya dan tidaklah rasanya sampai bosnya tu kena pecat tapi cara dimarahi itu memalukan kerani tersebut.

Kes kedua, seorang penyambut tetamu di sebuah syarikat telekomunikasi dimarahi oleh seorang pelanggan di khalayak ramai kerana dikatakan tidak memberi penerangan jelas kepadanya. Astaghfirullahal Azim.

Pernah melihat situasi ini? Sebenarnya saya sendiri pernah kena. Masa tu bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan dan ketika sedang sibuk menjalankan tugas untuk memeriksa tiket bayaran, saya dimarahi di hadapan isteri dan anaknya kerana tidak menjalankan tugas dengan betul. Itulah kali pertama saya melihat keluarga tersebut dan mana tahu itu juga kali terakhir saya melihat mereka.

Meskipun hanya "Jari Kelingking"

Insan-insan yang pernah singgah sebentar dalam hidup kita sebenarnya memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Mereka adalah insan-insan terpilih yang membantu proses kematangan hidup kita meskipun kadar masa yang sebentar saja. Merekalah yang bakal memberikan kita tambahan pahala atau dosa. Mereka melengkapi hidup kita. Bayangkan jika tiada mereka, siapa nak jadi orang gaji, siapa nak jadi pak guard dan siapa nak jaga kebersihan toilet, siapa nak jadi cashier, siapa nak jadi kerani, siapa nak jadi penyambut tetamu. Bukankah kehadiran mereka ini telah memudahkan hidup kita?.

Sebagaimana mereka, jari kelingking, meskipun, tampak kecil tapi fungsinya melengkapi fungsi jari-jemari sebagai tangan, lengan dan seterusnya satu badan. Walaupun ada di antara kita yang tidak berniat 'mencederakan' jari kelingking kita sendiri tetapi di akhir-akhir ini aku melihat fenomena merendah-rendahkan maruah golongan jari kelingking ini semakin meningkat.

Bayangkan jika tercederalah jari kelingking tersebut ataupun paling teruk terputus jari tersebut (Na 'uzubillah), adakah kita rasa cacat-cela? Oleh yang demikian, Jangan memandang rendah kepada kewujudan jari kelingking kerana ia adalah sebahagian diri kita. Sesekali, renunglah jari-jemari anda dan kaitkan dengan kehidupan kita.

 “Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membangga diri”


Surah Luqman 31:18




No comments: